Sunday, January 31, 2010

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden


Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh Ketua Penerangan, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) di majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009 yang diadakan pada 30/01/2010 bertempat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh, Tumpat.


Mukadimah

Dalam ucapan dasar YB Dato’ Seri Presiden dalam Muktamar Pas lalu yang bertajuk Islam Memimpin Perubahan mengandungi 15 sub topik yang agak padat untuk kita munaqasyah. Malah saya percaya sekiranya kita bahaskan secara detail dan terperinci ucapan dasar tersebut ianya boleh dimuatkan dalam sebuah buku yang amat berharga dari isi kandungannya buat para pejuang terutamanya untuk ahli Parti Islam Se- Malaysia (PAS).

Namun dikesempatan yang terbatas ini, saya yang telah diamanahkan untuk mewakili Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) cuba untuk membuat ulasan secara menyeluruh berkaitan kandungan ucapan dasar tersebut yang mana ianya mungkin in line dengan ulasan orang lain dan mungkin juga ianya berlawanan. Namun satu perkara yang perlu diingat, selagi mana ia tidak bercanggah dengan dasar perjuangan yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah maka kita perlu meraikannya dengan adabul ikhtilaf yang tinggi sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya Ummatuna bainal Qornain.


Perbahasan Pertama

Dalam mukadimah ucapan dasar tersebut, Dato’ Seri Presiden ada memetik ayat al-Quran surah al- Ankabut ayat 1-3:

1.  Alif laam miim[1144](2) Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (3) Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.


Imam Jalaluddin as-Suyuti telah menyebut dalam kitabnya Lubaabun nuqul fi asbabin nuzul riwayat Ibn Abi Hatim dari Qatadah bahawa sebab turun ayat ini berkaitan dengan peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. Penduduk Mekah telah menyusuri Rasulullah ke Madinah namun telah dihalang oleh orang Musyrikin lalu mereka dipaksa pulang kembali ke Mekah. Setelah itu sahabat dan kaum keluarga mereka telah menghantar surat berkaitan ayat tersebut lalu mereka meneruskan hijrah mereka sehinggalah ada yang syahid dipertengahan jalan.

Tidak dinamakan perjuangan jika tanpa ujian. Para pejuang yang berjaya mengharungi ujian merupakan pejuang yang sejati. Seumpama sebatang besi tidak akan menjadi sebilah keris yang ampuh dan cantik jika tidak dibakar dan ditempa beberapa kali terlebih dahulu. Namun perlu kita ingat bahawa ujian itu bukan hanya kesusahan, rintangan, tekanan ataupun kekalahan tetapi kemenangan, jawatan, kemewahan juga merupakan suatu ujian buat kita.

Berapa ramai para pejuang yang berjaya menghadapi ujian berupa kekalahan, kesusahan dan rintangan namun mereka gagal sewaktu menghadapi ujian atau cubaan yang berupa kemenangan, jawatan dan kemewahan. Di saat itu kita seolah-olah lupa akan prinsip musyawarah, amal jamaie, wehdatul fikr, wehdatul amal dan bermacam-macam lagi prinsip yang seharusnya wajib difahami dan diamalkan oleh kita yang mengaku sebagai pejuang parti membawa agenda Islam.

Maka tatkala itu, tiada bezanya antara kita dan orang lain atau parti lain khususnya UMNO kerana kita telah mengamalkan prinsip yang diamalkan oleh UMNO kedalam diri kita. Yang tinggal hanyalah sebuah dakwaan semata-mata kerana kita sebenarnya telah jauh dari prinsip amal jamaie. Itulah yang akan terjadi sekiranya kita mendahulukan kepentingan diri daripada kepentingan jemaah.

Perbahasan Kedua

Dalam imbasan setahun, Tuan Guru Dato Seri Presiden telah menyebut bahawa kerjasama erat dikalangan kita khususnya telah membuatkan kita berjaya menghadapi pelbagai ujian termasuklah beberapa siri pilihan raya kecil. Kerjasama tersebut telah menarik rakyat jelata untuk bersimpati dan memberikan sokongan kepada kita, hasilnya kita telah memenangi beberapa pilihan raya kecil.

Oleh yang demikian, janganlah sokongan rakyat kepada kita itu menjadi pudar dek kerana sikap kita sejak akhir-akhir ini yang bertelingkah sesama sendiri. Tiada lagi seiya sekata sehinggakan dalam satu isu timbul banyak pendapat serta pendirian yang berbeza-beza. Memang tidak salah untuk berbeza pendapat, namun pendapat yang diputuskan oleh pihak jemaah perlu diutamakan manakala pendapat peribadi tidak harus diperbincangkan bagi mengelak fitnah yang lebih besar kepada jemaah.

Perbahasan Ketiga

Sebagaimana tajuk ucapan dasar, Islam Memimpin Perubahan sudah tentulah perubahan yang kita maksudkan dan kehendaki ialah perubahan kearah kebaikan sepertimana yang telah digariskan Islam dan bukan sebaliknya. YB Tuan Guru Dato Seri Presiden telah menyebut beberapa contoh kegagalan-kegagalan UMNO disebalik slogan-slogan tertentu yang silih bertukar ganti dan terbarunya Satu Malaysia sedangkan prinsipnya terlalu kabur serta kelihatan bercanggah dengan prinsip Islam.

Maka contoh-contoh yang berada di hadapan mata kita ini janganlah diterapkan sebagai pegangan perjuangan kita. Kita sebagai pendokong perjuangan Islam perlu membuktikan dasar-dasar perjuangan kita ini dengan tingkah laku kita yang benar mencerminkan sebuah perjuangan yang benar dan bukan sekadar menjadi laungan atau kata-kata semasa ceramah semata-mata akhirnya menjadi sebuah retorik. Firman Allah s.w.t:

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir? (al- Baqarah: 44)

Sekiranya kita mengatakan bahawa UMNO itu salah kerana dasar perjuangannya jauh dari prinsip Islam, maka kita perlu buktikan kepada masyarakat bahawa kita perjuangan kita adalah atas landasan kebenaran. Kita mengatakan bahawa UMNO menghadapi masalah dalaman yang teruk, namun tidak kurang juga dengan jemaah kita. Kalau UMNO berdepan denga krisis sesama mereka sendiri, masyarakat tidak begitu ambil hirau sangat sebab sudah begitunya UMNO. Tapi bila jemaah atau parti kita yang bertelagah sesama sendiri terutamanya dikalangan pimpinan, masyarakat akan memandang berat perkara tersebut kerana kita adalah jemaah atau parti Islam yang membawa slogan Islam.

Dimanakah prinsip ukhwah, taat, wala', yang kita pelajari dalam amal jamaie? Sudah lupakah kita rukun baiah yang digarapkan oleh Imam Hassan al-Banna? Dalam rukun faham sahaja terdapat 20 usul yang dihurai panjang mengenai fungsinya.

Cuba kita renung sejenak, bagaimana ukhwah sesama kita serta permuafakatan kita sebelum jemaah kita memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya. Jauh bezanya dengan keadaan sekarang yang kelihatannya racun-racun UMNO sudah mula meresap dan membarahi jiwa kita.

Dr, Ali Abdul Halim Mahmud menyebut dalam bukunya Syarah Usul ‘Isyriin bahawa salah satu punca perpecahan kaum Muslimin dan kemunduran tamadun mereka hari ini adalah berpunca dari umat Islam sendiri. Ini adalah kerana kelemahan mereka dalam berpegang dengan prinsip serta kewajipan agama. Jalan penyelesaiannya mudah iaitu kembali kepada manhaj Islam.

Rakyat mampu menilai perbezaan antara pemerintahan UMNO dan pemerintahan Pas bersama rakan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang berjaya kita tawan. Mereka akan mudah menilai kerana mereka pernah berada di bawah pemerintahan UMNO. Kita perlu buktikan kepada rakyat dan UMNO bahawa Islam memang boleh memerintah serta mampu melakukan perubahan.  

Maka buktikanlah kepada rakyat dan masyarakat bahawa model pemerintahan dan pentadbiran yang dikemukakan Islam tetap relevan tanpa mengira tempat dan masa di setiap zaman.


Perbahasan Keempat

Dalam sub-topik Dalam Negara, Tuan Guru Dato Seri Presiden mengajak kita untuk merenung kembali sejarah dan matlamat penubuhan Parti Islam Se- Malaysia (PAS). Ini adalah kerana berdasarkan matlamat penubuhanlah kita akan dapat menjiwai erti sebenar jemaah yang kita dokong ini.

Sejarah mengajar manusia tentang tamadun serta pengajaran yang amat bernilai. Sesiapa yang buta sejarah maka dia sebenarnya tidak mengenali asal usulnya sendiri. Orang yang tidak mengenali asal usulnya sendiri tidak akan kemana-mana kerana dia sebenarnya telah tersesat dalam dirinya sendiri.

Setelah kita ketahui bahawa penubuhan Pas ini adalah untuk memperjuangkan Islam yang syumul maka kita wajib meneruskan kesinambungan tersebut tanpa terpesong dari arah sebenar dengan dugaan kepentingan diri dan peribadi kita.


Perbahasan Kelima

Tuan Guru Dato Seri Presiden menegaskan bahawa PAS berpendapat bahawa kepimpinan adalah merupakan satu amanah yang sangat besar, dan ianya wajib dipikul oleh orang yang bukan sahaja layak dan adil tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya. Risiko mempunyai kepimpinan yang rosak akhlak dan mempunyai seribu satu macam bebanan fitnah adalah sangat tinggi, yang mana maruah negara adalah menjadi taruhannya.

Walaupun pernyataan tersebut ditujukan khas kepada UMNO, namun kita juga perlu meletakkannya ke dalam diri kita bagi menilai di tahap mana kita sebenar. Janganlah ada diantara kita orang-orang yang mengaku menjadi pejuang Islam namun akhlaknya tidak melambangkan perkara tersebut. Perebutan jawatan serta kuasa yang sebenarnya adalah amanah yang akan dipersoalkan nanti dijadikan seolah-olah harta ghanimah perang yang boleh dibahagikan sesuka hatinya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Bahawa itu adalah suatu amanah dan ia pada hari kiamat akan menjadi kerugian dan penyesalan kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan cara hak serta menunaikan kewajipan yang terpikul di atas bahunya.

Dalam menuju visi jemaah untuk melaksanakan pemerintahan model Islam, kita perlu memerlukan orang-orang yang benar pakar untuk melaksanakan perkara tersebut. Oleh yang demikian kita perlu menyediakan para tenaga pakar yang mencukupi dari pelbagai aspek, namun begitu aspek tarbiyah adalah perlu diutamakan.

Jika ahli-ahli kita menjalani proses tarbiyah secara berterusan dan dapat memahami serta dapat mengadaptasi dalam perjuangan ini, saya percaya kita akan mampu untuk menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan yang merintangi laluan perjuangan kita.


Perbahasan Kelima

Ekonomi adalah antara faktor utama dalam pembangunan negara serta keharmonian masyarakat. Sekarang ini, Negara kita perlu ekonomi yang kukuh yang tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada negara lain. Kita perlu menjana ekonomi kita sendiri supaya kita boleh bergerak bebas dan tidak tertakluk kepada negara-negara kapitalis barat yang selalu menekan dan memeras negara yang tidak mempunyai ekonomi yang stabil terutamanya negara-negara Islam yang sedang membangun.

Dengan ekonomi Islam, kita akan dapat membina masyarakat yang lebih terjamin dari segi halal dan haramnya. Harta yang mereka perolehi bersih dari sumber-sumber yang haram kerana perkara tersebut merupakan asas dalam pembinaan masyarakat yang unggul.


Perbahasan Keenam

Pemerkasaan Organisasi jemaah kita amat perlu bagi menghadapi perjuangan yang masih jauh ini. Kita perlu berusaha untuk meraih sokongan dan peryertaan masyarakat ke dalam jemaah bagi mengemaskan lagi kekuatan kita. Kita perlu menggabungkan para ahli dari pelbagai latar belakang dan tidak hanya tertumpu kepada golongan professional semata-mata.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru Dato Seri Presiden bahawa Walaupun PAS sungguh terbuka untuk menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS ini perlulah ditarbiah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan oleh PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS. Institusi usrah dipelbagai peringkat pula perlulah diperkukuhkan, untuk melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dengan perjuangan Islam yang kita bawa ini.

Perkara ini perlu difahami dengan teliti oleh para ahli yang dengan jelasnya betapa penting proses tarbiyah dalam jemaah. Melalui proses tarbiyah inilah kita akan dapat menerapkan wehdatul fikr dan wehdatul amal dalam amal jamaie kita.

Perbahasan Ketujuh       

Mutaakhir ini Pas telah mula membuka ruang kepada masyarakat bukan Islam untuk mendekati dan memahami perjuangan Islam yang dibawa Pas. Penubuhan Kelab Penyokong Pas oleh masyarakat cina dan India telah memulakan lembaran baru kerjasama Pas dengan masyarakat yang berlainan aqidah. Ia juga menggambarkan bahawa Pas telah mendapat tempat di hati masyarakat bukan Islam. Malah Pas juga turut mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, dalam keghairahan kita untuk meraih sokongan masyarakat bukan Islam kepada Pas kita juga perlu beringat-ingat agar dasar perjuangan dan asas aqidah tidak tergadai.

 Perbahasan Kelapan

Pas adalah sebuah parti yang terdiri dari dewan- dewan yang saling bantu mambantu seperti tiang-tiang asas dalam membangunkan sebuah bangunan yang kukuh. Setiap dewan mempunyai peranannya yang tersendiri yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Peranan Dewan Ulama yang lebih tinggi berbanding dewan-dewan lain dalam membina generasi pejuang yang mampu menghadapi cabaran serta menentukan hala tuju jemaah.

Manakala Dewan Pemuda sebagai sayap kanan jemaah yang perlu diperkasakan kerana golongan inilah yang akan mewarisi kepimpinan jemaah pada masa akan datang. Jika sayap kanan ini tempang, maka masa depan jemaah akan menjadi kabur.

Pas tidak pernah menafikan peranan Muslimat dalam perjuangan. Malah tugas Dewan Muslimat amat unik yang tidak mampu dilaksanakan oleh dewan-dewan lain sama ada dewan ulama mahupun dewan pemuda. Kita perlu akui bahawa tangan yang menghayun buaian itu mampu untuk menggegarkan dunia.    

Walaupun begitu kesemua dewan-dewan ini perlu bersatu tenaga bekerjasama untuk memperjuangan agenda Islam yang didokong parti kita tanpa mendabik dada bahawa kejayaan yang telah dikecapi hasil usaha mereka sahaja. Kerana setiap dewan mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing dan tersendiri sebagaimana yang telah ditetapkan oleh parti.

Perbahasan Kesembilan

Walaupun Pas adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan di Malaysia, namun sikap mengambil berat mengena saudara sesama Islam di luar Negara tetap menjadi perhatian.

Pelbagai cara telah kita tunjukan sebagai tanda bantahan terhadap keganasan-keganasan yang dilakukan ke atas masyarakat Islam diluar sana serta tanda sokongan kita kepada jemaah-jemaah Islam yang memainkan peranan seperti kita di Malaysia.

Apalah sangat nilai pengorbanan kita jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan. Mereka bukan hanya sekadar berjuang dalam pilihan raya seperti kita bahkan mereka juga turut mengangkat senjata melawan kuffar yang menceroboh dan ingin merampas tanah air mereka. Kita turut menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan yang mereka pikul tersebut sebagai menunaikan tanggungjawab sesama Muslim.

KESIMPULAN

Saya berpendapat bahawa tiada kesimpulan yang lebih baik daripada kesimpulan yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Dato Seri Presden sendiri semasa memberikan ucapan dasar tersebut.

Sebagai intipati tindakan bagi para pendokong dan pimpinan PAS, maka izinkan untuk saya simpulkannya dan membuat seruan seperti berikut:

i) Saya menyeru kepada semua peringkat ahli parti untuk memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jamaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar-umbi supaya benar-benar menjadi seperti yang dituntut Allah SWT dalam Surah As-Sofff ayat 4, terutamanya Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan-dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan.

ii) Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.
iii) Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan kita sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

iv) Marilah kita terus menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS, bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global. Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

v) Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat ‘Usuliy’ dari segi prinsip-prinsip perjuangan, ‘Mu’asirah’ dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, ‘Istiqbaliy’ dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

vi) Marilah kita mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat, sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-13.

PENUTUP

Akhirnya, dikesempatan ini bagi pihak Muktamar, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Selangor, Panitia Induk Muktamar, Badan Perhubungan PAS Selangor dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-55 ini.

Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Marilah kita menghayati akan firman Allah SWT

Dan Allah Telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana dia Telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang Telah diridhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang fasik. (an-Nur: 55)


Wednesday, January 27, 2010

Usrah Pemuda Kawasan



Pada 25/01/2010  Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan usrah bulanannya di rumah Ketua Penerangan DPPKT, di Tanjung Mas, Kota Bharu. Telah disepakati oleh semua ajk bahawa usrah bulanan DPPKT akan diadakan di rumah para ajk secara bergilir-gilir. Tujuannya adalah untuk mengeratkan lagi hubungan ukhwah para ajk.

Program dimulakan dengan berbuka puasa sebagaimana yang diarahkan kepada para ajk supaya berpuasa sunat. Setelah itu solat maghrib berjemaah di imamkan oleh Ustaz Wan Fakrulrazi, naqib usrah.  Usrah kali ini membincang ayat 26 - 33 surah an-Anfal.

Setiap ahli usrah diberikan peluang untuk mengupas ayat-ayat tersebut. Pelbagai pandangan diberikan termasuk ilmu-ilmu baru yang diperolehi dari kalangan para ahli usrah semua. Lokasi usrah seterusnya bulan depan adalah di rumah Ustaz Hishamuddin, Kampung Sedar Tumpat.


Saturday, January 16, 2010

Kuliyah Tafaquh



Alhamdulillah..Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah memulakan kuliyah tafaquh yang telah sekian lama dirancang. Kuliyah tersebut akan diadakan pada setiap hari Jumaat bemula jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Pengkuliyah tetapnya ialah Ustaz Ahmad Fuad Amran yang akan mensyarahkan kitab Jundullah: Tsaqafah wa Akhlaqan karangan al-Alim al-Allamah Syeikh Said Hawa.

Kuliyah tersebut adalah terbuka kepada semua pemuda disemua peringkat sama ada kawasan, dun dan cawangan. Tujuan kuliyah tafaquh ini diadakan ialah bagi memantapkan ilmu pengetahuan kepada para pemuda yang menjadi sayap kanan perjuangan parti dalam membawa agenda Islam. Sambutan dari para pemuda amat menggalakkan dan diharapkan ianya akan terus mendapat sokongan dan penyertaan yang lebih ramai lagi.



Monday, January 4, 2010

Penggunaan Kalimah ALLAH: Tok Guru Tidak Setuju






KOTA BHARU 3 Jan. – Penggunaan kalimah Allah oleh agama lain tidak boleh dibenarkan sama sekali kerana ia akan menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Mursyidul Am Pas, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, biar pun dari segi hukum membenarkan agama ‘samawi’ seperti Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah itu tetapi dibimbangi ia disalah gunakan pihak tertentu.

Beliau berkata, masalah penggunaan kalimah Allah timbul kerana tiada badan perunding antara pihak Islam dan Kristian yang menyelesaikan kemelut itu dengan baik menyebabkan ia kini menjadi isu sensitif.

“Kita bimbang dan takut orang ini salah guna perkataan Allah iaitu salah guna dalam pengertian, sebab itu dalam fiqah kita boleh sekat orang bukan Islam guna perkataan Allah walaupun benda itu harus.

“Saya juga bimbang kalimah ini disalah guna sehingga menyebabkan orang Melayu beragama Islam keliru... dia kata sana Allah, sini pun Allah sehingga akhir-akhir ini dia minta gereja pun dipanggil masjid Kristian.

“Pengunaan Allah boleh tetapi dibimbang disalah guna, jadi lebih baik kita berhenti daripada membenarkan agama lain guna perkataan Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baru Urus Setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri di Jalan Telipot di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, YB Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri, YB Wan Ubaidah Omar.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, KDN telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Sementara itu, Tuan Guru hari ini memberitahu, masalah penggunaan kalimah Allah timbul kerana tiada badan perunding antara pihak Islam dan Kristian untuk menyelesaikan kemelut itu dengan baik menyebabkan ia kini menjadi isu sensitif.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya badan rundingan itu diwujudkan secepat mungkin.

“Majlis rundingan itu boleh dianjur NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau kerajaan sendiri secara terbuka atau tertutup.

“Kalau kita biar Kristian dengan Kristian dan Islam dengan Islam akan timbullah masalah seperti ini. Orang kita tidak suka berdepan begini,” katanya.

Menurut Tuan Guru, beliau tiada halangan jika dipanggil menjadi ahli panel dalam majlis rundingan tersebut bagi menjelaskan keadaan sebenar.



Dipetik dari Utusan Online bertarikh 04/01/2010