Thursday, November 27, 2008

Kontroversi Pengharaman Yoga Perlu Penyelesaian

Oleh Abdul Rahman Sulaiman

Salah faham keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan hendaklah diperjelas elak timbul masalah antara agama. KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan, Sabtu lalu mengharamkan senaman yoga di kalangan penganut Islam jelas menimbulkan kontroversi yang kalau tidak diselesaikan segera bukan saja boleh mengelirukan masyarakat Islam, malah menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Berdasarkan polemik yang menyusul, adalah jelas bahawa pengumuman itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang di kalangan beberapa pihak. Pihak istana, misalnya, tampak terkilan kerana keputusan itu tidak terlebih dulu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja sebelum diumumkan kepada orang ramai, sedangkan hal ehwal agama pada peringkat negeri tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan.

Segelintir badan bukan kerajaan (NGO) yang didukung orang Islam pula mempertikaikan fatwa berkenaan atas alasan bahawa yoga yang mereka jadikan satu bentuk senaman yang baik untuk kesihatan dan tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan Islam. Sementara itu, beberapa individu Islam yang terbabit dengan pengajaran atau amalan yoga mendakwa senaman yang mereka amalkan tidak mengandungi aspek pemujaan atau manetra yang didakwa oleh Majlis Fatwa.

Di kalangan orang bukan Islam, terutama penganut Hindu pula, ada yang menganggap fatwa itu sebagai penghinaan terhadap agama mereka. Adalah jelas bahawa ketidakpuashatian terhadap fatwa berkenaan di kalangan penganut bukan Islam disebabkan kejahilan mereka terhadap agama Islam.

Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dilaporkan menitahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri mempertimbangkan secara terperinci berhubung aktiviti yoga di negeri itu. Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak bertitah, sebarang keputusan Jawatankuasa Fatwa negeri itu kemudian hendaklah dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sebelum itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga mahu Majlis Fatwa Kebangsaan merujuk sebarang keputusan kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan sebelum diumumkan kepada orang ramai. Salah faham di kalangan orang Islam yang mengamalkan yoga jelas kelihatan apabila mendakwa bahawa senaman yang mereka amalkan tidak mengandungi manetra atau apa-apa ritual keagamaan yang boleh menjejaskan akidah. Sebaliknya, mereka mendakwa bahawa kegiatan itu berkesan meredakan pelbagai jenis penyakit, mengurangkan tekanan serta memberikan mereka ketenangan jiwa serta melatih mereka fokus ketika melakukan sesuatu pekerjaan. Kononnya mampu menjadikan mereka lebih khusyuk ketika solat.

Perlu diingat bahawa dalam kenyataannya Majlis Fatwa Kebangsaan menyebut yoga yang diharamkan itu ialah 'amalan yoga secara sistematik yang membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan.' Di sini timbul soalan: apakah yoga yang diamalkan di negara ini bukan yoga yang sistematik yang menurut konsep asalnya adalah satu bentuk meditasi dan memang berkait dengan amalan agama? Apakah ada konflik antara konsep dengan amalan. Kalau yoga yang diamalkan di negara ini semata-mata gerakan senaman dan langsung tiada kaitan dengan konsep asal, apa pula hukumnya?

Mungkin dalam hubungan ini apa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu ada persamaan dengan satu gerakan seni silat yang dikenali dengan Nasrul Haq yang diharamkan pada 1970-an lalu. Meskipun pada tahap awal pengajaran seni mempertahankan diri itu didapati tiada sebarang kesalahan dari segi agama, konflik timbul apabila seseorang pelajar sudah menguasai seni tersebut sepenuhnya sehingga mereka mampu menumbangkan musuh tanpa menyentuh musuh berkenaan secara fizikal. Pengikut silat yakin kehebatan itu adalah mukjizat yang dianugerahkan Allah SWT kepada mereka kerana tidak meninggalkan solat, sedangkan semua orang tahu bahawa lebih ramai ulama yang lebih taat bahkan Rasulullah sendiri tidak pernah diberikan mukjizat sedemikian. Akhirnya pengikut Nasrul Haq menjadi sombong, riak dan takbur.

Pengamal yoga juga mungkin boleh jadi begitu pada kemuncak pengembaraan mereka apabila mereka merasakan diri dan roh mereka sudah bersatu dengan Tuhan. Wallahualam. Bagi penganut bukan Islam yang mengkritik fatwa berkenaan, mereka perlu menerima hakikat bahawa fatwa yang dimaksudkan itu untuk orang Islam saja. Mereka yang bukan beragama Islam tidak tertakluk dengannya.

Seperkara yang harus difahami ialah istilah 'haram' yang diguna pakai di sini adalah dalam konteks agama. Ia berbeza dengan kegunaan biasa dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, judi diharamkan dalam Islam tanpa mengira sama ada ia dilesenkan atau tidak. Tetapi dalam konteks kegunaan bahasa harian, judi berlesen dibolehkan. Yang dianggap haram cuma judi yang dikendalikan oleh operator tidak berlesen.

Untuk pengetahuan penganut bukan Islam, dalam Islam ada empat hukum asas yang menjadi pegangan orang Islam dalam kehidupan harian mereka, iaitu halal, haram, makruh dan harus. Perkara atau perbuatan yang halal adalah yang dibenarkan oleh syarak. Yang haram adalah yang dilarang sama sekali dan jika dilakukan jua, orang yang melakukannya berdosa. Perkara yang makruh pula ialah sesuatu yang diberikan ganjaran pahala jika ditinggalkan tetapi tidak berdosa jika dilakukan sementara yang harus pula tidak membawa apa-apa implikasi sama ada dilakukan atau elakkan.

Apa pun, seperti yang dijelaskan di atas tadi, kekeliruan dan salah faham berhubung fatwa mengenai yoga itu perlu diselesaikan segera. Polemik berterusan berhubung isu ini walaupun dari satu segi boleh dianggap positif kerana ia menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia kini lebih terbuka dan tidak mudah menerima sesuatu yang disogokkan kepada mereka secara bulat-bulat tanpa penjelasan yang meyakinkan tidak akan banyak mendatangkan faedah. Banyak isu lain yang memerlukan tumpuan sepenuh masa setiap pihak seperti krisis ekonomi global yang sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan rakyat tempatan serta kegawatan politik semasa.

Mungkin ada baiknya pihak berkuasa agama atau Majlis Fatwa Kebangsaan sendiri mengambil inisiatif memberi penjelasan lebih konkrit, menyeluruh dan meyakinkan setiap rakyat, tanpa mengira fahaman agama masing-masing. Ini juga satu kegiatan dakwah. Peluang yang ditawarkan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkaitan untuk menjelaskan isu berhubung amalan dan pengharaman yoga di RTM dan agensi lain di bawah kementeriannya boleh dimanfaatkan.


Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama
Dipetik dari Berita Harian

Saturday, November 15, 2008

SELAMAT KEBERANGKATAN KEPADA BAKAL HAJI 2008

Assalamualaikum wm wb

Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat mengucapkan "SELAMAT KEBERANGKATAN KEPADA BAKAL-BAKAL HAJI".

Semoga akan mendapat Haji yang MABRUR.

SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN SPM 2008

Assalamualaikum wm wb

Saya Hj Ropein Hasan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat serta semua Exco DPPKT ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan "SELAMAT MENEMPUH PEPERIKSAAN SPM" kepada semua pelajar di Kawasan Tumpat sama ada dari Sekolah YIK atau Sekolah Kementerian.

Semoga dapat menjawab soalan dengan penuh keyakinan serta Selamat Berjaya.

Sunday, November 9, 2008

KEJOHANAN FUTSAL MAHABBAH PIALA KP 2008

Tarikh : 7 November 2008 (Jumaat)
Masa : 8.30 malam
Tempat : Dewan Futsal Kg Tal 7
Kejohanan dimulakan dengan solat Isya' berjemaah

KP Kawasan mengambil bahagian dalam kejohanan ini

YB KP Negeri dan YB ADUN Wakaf Bharu tidak ketinggalan untuk bersama memberi sokongan kepada setiap anak buah masing-masing

Ukhuwwah yang dijalinkan melalui sukan dapat dirasai oleh setiap pasukan

Pimpinan yang hadir bersama menjayakan program pemuda

Ucapan Aluan KP Kawasan

Sedikit ucapan ringkas daripada YB KP Negeri

Pasukan Kelaboran A sebagai Johan

AJK DPPKT bergambar kenang-kenangan bersama pimpinan

Tuesday, November 4, 2008

MAJLIS PELANCARAN KEMASUKAN PELAJAR BARU KE SEKOLAH UGAMA YIK










2 November 2008, Morak - Pelancaran telah disempurnakan oleh YB Dato' Hj Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan merangkap ADUN Pasir Pekan. Ucaptama oleh YB Al-Fadhil Ust Mohd Amar Abdullah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan bertempat di SMUA Bustanul Saadah.