Saturday, October 16, 2010

Majlis Aidilfitri & Hari Keluarga DPPKT


Sabtu (09/10/2010) pula, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) mengadakan Majlis Hari Raya dan Hari Keluarga di Pantai Sri Tujuh. Majlis tersebut yang menghimpunkan kesemua ajk pemuda kawasan dan dun beserta dengan keluarga masing-masing. Turut hadir ke majlis tersebut ialah YB Dato’ Haji Kamarudin Jaafar (Ahli Parlimen Tumpat), YB Hj. Che Abdullah Mat Nawi (Exco Kerajaan Negeri Kelantan) dan YB Mohd Zaki Hj Ibrahim (Timbalan Speaker Dun Kelantan).

Turut diadakan sukaneka untuk anak-anak yang hadir seperti pertandingan tiup belon, berebut kerusi dan explorace. Tuan Haji Rosli Abdullah selaku Ketua Pemuda Pas Tumpat bersama kesemua wakil rakyat yang hadir berbesar hati untuk menyampaikan duit raya kepada anak-anak serta hamper untuk cabutan bertuah yang disediakan.  

Kejohanan Tenpin Bowling NGO Belia Kelantan


Pada hari Jumaat (08/10/2010) Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPKT) menyertai Kejohanan Tenpin Bowling NGO Belia Kelantan bertempat di Perdana Superbowl.

DPPKT telah menghantar 5 orang wakil bagi menyertai kejohanan tersebut iaitu Ustaz Aubaidillah, Kamazelan, Azizi, Nik Omar dan Ustaz Azhar. Walaupun wakil DPPKT tidak berjaya untuk mendapatkan hadiah utama, namun Ustaz Azhar Ibrahim telah menempatkan nama di tempat keenam dalam senarai pemain yang terbanyak menjatuhkan pin.

Rata-rata para pemain amat gembira dengan program yang dianjurkan ini kerana ia boleh merapatkan ukhwah dikalangan ajk serta mengeratkan hubungan dengan pimpinan negeri.  

Sunday, August 15, 2010

Pelancaran Kelas Tafaqquh Fiddin


Pada 13/08/2010 (Jumaat), Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan pelancaran Kelas Tafaqquh Fiddin yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Ustaz Hj Ahmad Bin Yakob, Timbalan  Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Kelantan merangkap Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan. Turut hadir sama ke majlis tersebut ialah YB Dato’ Haji Kamarudin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat dan En. Mohd Nawawi Hj Adam, Ketua Penerangan Pas Kawasan Tumpat.

Kelas tafaqquh fiddin anjuran DPPKT itu sebenarnya telah lama berjalan yang dikendalikan oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Amran selaku pengkuliyah tetap. Kuliyah yang diadakan setiap pagi Jumaat bermula pukul 7:30 pagi itu terbuka untuk semua dan tidak hanya terhad kepada pemuda sahaja.

Kelas ini diadakan adalah sebagai salah satu usaha DPPKT untuk memberikan ruang kepada masyarakat menambah ilmu apatah lagi seruan kerajaan pimpinan Tok Guru telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari menuntut ilmu. Diharapkan dengan pelancaran yang telah dibuat ini, masyarakat akan merebut peluang yang diberikan bagi berlumba-lumba untuk menuntut ilmu.   

Saturday, August 14, 2010

Singgah Berbuka Di Dun Wakaf Bharu


Hari ini 14/08/2010, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DDPKT) dengan kerjasama Jawatankuasa Pemuda Pas Wakaf Bharu dan YB Haji Che Abdullah Mat Nawi selaku wakil rakyat Dun Wakaf Bharu telah mengadakan program amal yang dinamakan sebagai Singgah Berbuka bertempat di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu.  

Program dimulakan dengan kunjungan ke 20 buah rumah orang miskin yang terpilih bagi menyampaikan sedikit sumbangan barangan keperluan dapur serta zakat.

Program ini merupakan program tradisi DPPKT yang diadakan pada setiap kali menjelmanya bulan Ramadhan. Kebanyakan mereka yang terpilih untuk menerima bantuan tersebut terdiri daripada orang miskin, ibu tunggal dan orang sakit yang memang memerlukan bantuan.

Dengan kehadiran YB Haji Che Abdullah Mat Nawi itu sendiri, sekurang-kurangnya bantuan yang diperlukan dalam kadar segera dapat diberikan perhatian.

Terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk penghulu Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bahru.

Friday, July 23, 2010

Kembara Amal Ke Dun Pasir Pekan


Hari ini (Jumaat 23/07/2010), Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah menyambung tradisinya mengadakan kembara amal ke Kampung Pulau Raja dan Kampung Pulau Kerbau yang terletak dalam Dun Pasir Pekan.

Program ini yang telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Jawatankuasa Pemuda Dun Pasir Pekan dan penghulu kedua-dua kampong tersebut. Program ini diadakan bagi mendekati penduduk yang kurang berkemampuan disamping menyampaikan sedikit sumbangan kepada para penerima yang terpilih.

Ada dikalangan para penerima sumbangan daripada DPPKT merupakan ibu tunggal, orang miskin serta yang menghidapi penyakit dipilih oleh penghulu kedua-dua kampong tersebut.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya DPPKT menjadi ejen kebajikan dalam mengambil berat mengenai hal ehwal rakyat yang memerlukan bantuan dalam Parlimen Tumpat ini.

Mukhayam


Pada 08 – 10 Julai 2010 lalu, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah menyertai dua mukhayam. Mukhayam Mahabbah anjuran Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) yang diadakan di Merang Suria Resort dan Mukhayam Tarbawi anjuran Pas Kawasan Tumpat di Pergau, Jeli.

Oleh kerana kedua-dua mukhayam tersebut bertembung tarikh yang sama, maka pembahagian peserta telah dibuat. Separuh daripada ajk DPPKT akan ke Mukhayam Mahabbah DPPNK di Merang manakala separuh lagi akan mengikuti Mukhayam Tarbawi anjuran Pas Kawasan Tumpat di Pergau, Jeli.

Kesemua ajk DPPKT yang menyertai kedua-dua mukhayam tersebut melahirkan perasaan puas hati dan berpendapat ianya amat berguna untuk semua.  





Friday, May 28, 2010

Kembara amal di Dun Kelaboran


Hari ini (28/05/2010 Jumaat) Lajnah Kebajikan, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) dengan kerjasama Pemuda Dun Kelaboran serta YB Adun Kelaboran telah mengadakan siri Kembara Amal ke Kg. Dalam Rhu, Tumpat.

Ini adalah kembara amal DPPKT yang kedua selepas Dun Pengkalan Kubor baru-baru ini. Tujuan kembara amal ini diadakan adalah untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada masyarakat bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mereka yang tidak berkemampuan.

Selain daripada barangan keperluan dapur yang disumbangkan oleh DPPKT, YB Adun Kelaboran juga turut menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada penerima-penerima yang terpilih.

Program sebegini boleh merakyatkan pemuda dengan masyarakat serta dapat melihat sendiri masalah-masalah yang dialami rakyat. Sekurang-kurangnya akan ada usaha yang diambil untuk meringankan beban masyarakat yang tidak bernasib baik.   

Kembara amal seterusnya dijangkakan ke Dun Pasir Pekan pada bulan Jun nanti.

Thursday, May 13, 2010

Usrah DPPKT


Semalam, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan usrah bulanan di rumah Ustaz Wan Fakhrulrazi, Ketua Lajnah Tarbiah DPPKT. Manakala naqibnya pula ialah Tuan Guru Dato Nik Abd. Kadir Nik Mat, Ketua Urusan Ulama Pas Kawasan Tumpat.

Program bermula dengan solat Isyak di Masjid an-Nur, kemudian makan malam dirumah Ustaz Wan Fakhrulrazi dengan hidangan ikan siakap masak 3 rasa dan tomyam.

Usrah kali ini membincangkan ayat 41 hingga 45 surah al-Anfal yang telah diulas dengan panjang lebar oleh Tuan Guru Dato Nik Abd. Kadir.

Friday, April 23, 2010

Cakap siang pandang-pandang


Artikel asal telah dipindahkan kesini kerana mendapat bantahan daripada seorang pemuda. Jadi untuk mengelakkan DPPKT dipersalahkan, saya memindahkan artikel ini ke blog saya di sini.

Friday, April 9, 2010

Mesyuarat Agong Tahun 2010 Kali Ke 33


Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan Mesyuarat Agong bagi kali ke 33 tahun 2010 hari ini bertempat di Dewan SMU (A) Bustanul Saadah, Kampung Morak, Tumpat.  

Perasmiannya telah dilakukan oleh al-Fadhil Ustaz Haji Nasaruddin Bin Hassan at-Tantawi, Ketua Pemuda Pas Pusat. Manakala Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPNK) diwakili oleh Ustaz Wan Azimin Bin Wan Adnan, Bendahari DPPNK. Majlis dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan Jabatan Amal Tumpat.

Dalam ucapan perasmian, Ketua Pemuda Pusat menekankan aspek tarbiyah dan kefahaman dikalangan para pemuda agar pemuda dapat mengharungi perjuangan dengan penuh panduan yang jelas. Beliau menyeru para pemuda agar mempersiapkan diri sebagai ‘ansarullah’ dengan mempunyai spiritual yang mantap sentiasa berhubungan dengan Allah s.w.t. Fikrah yang jelas dan akidah yang tulen juga amat penting dalam mempersiapkan diri dalam medan perjuangan ini.

Sebagai kepimpinan pemuda, kita perlu mempunyai karisma kepimpinan bertaqwa, syakhsiyah diri yang soleh, ilmu yang menguasai tuntutan masyarakat dan keperluan jemaah, fizikal yang sentiasa kuat siap siaga dan ketenangan jiwa dalam menghadapi cabaran perjuangan.  

Sewaktu perbahasan usul daripada cawangan-cawangan, usul bersama cawangan Kebakat dan Pak Kerau yang berbunyi:-

Sekarang ini gejala pemakaian yang tidak mengikut spesifikasi digariskan Islam semakin berleluasa terutamanya dikalangan wanita telah semakin membarah di negeri ini.  Isu ini sedikit sebanyak telah menjejaskan nama kerajaan yang mentadbir negeri dengan slogan ‘Membangun Bersama Islam’. Sekiranya masalah ini tidak ditangani dengan segera, ia akan menjadi satu kebiasaan yang pasti sukar untuk dihadapi. Oleh itu, kami dengan ini mengesa kerajaan agar memperkasakan lagi undang-undang dan penguatkuasaan berkaitan aurat dan pemakaian agar selari dengan konsep Islam yang diterapkan oleh kerajaan negeri.

Telah diterima dengan sebulat suara.




Sunday, March 28, 2010

Kembara Kebajikan Pemuda Ke Dun Pengkalan Kubor


Pada 26/03/2010 (Jumaat) Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat telah mengadakan kembara kebajikan ke Dun Pengkalan Kubor, Tumpat. Tujuannya adalah untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang tidak bernasib baik seperti ibu tunggal, orang miskin dan warga tua.

Program ini turut melibatkan semua ajk DPPKT, ajk Pemuda Dun Pengkalan Kubor. Penyelia dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim juga turut turun padang menziarahi orang-orang yang tidak bernasib baik ini.

Para penerima sumbangan melahirkan rasa gembira dan syukur kepada semua yang telah terlibat dalam meringan beban ditanggung mereka itu. DPPKT akan menjadikan program seperti ini sebagai satu program yang berterusan demi menjaga kebajikan mereka yang tidak bernasib baik.

Wednesday, March 24, 2010

Kuliah Haraki


Pada 23/03/2010 (Selasa), Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan satu kuliyah haraki bertempat di Dewan Tuan Guru Haji Sulaiman, Pejabat Pas Kawasan Tumpat. Pengkuliah jemputan pada kali ini ialah Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan merangkap Setiausaha Akhbar YAB Dato Tuan Guru Menteri Besar. Pengkuliah kedua pula ialah YB Haji Che Abdullah Mat Nawi, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga Adun Wakaf Bharu.

Ustaz Ahmad Fadhli menyentuh mengenai Rukun Baiah yang sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Hassan al- Banna. Beliau telah mengupas dengan panjang lebar dua rukuan yang pertama iaitu Faham dan Ikhlas dalam amal jamaie. Beliau juga turut mengaitkan isu-isu yang berlegar dalam Pas sebagai contoh paling dekat dan mudah difahami.

YB Haji Che Abdullah Mat Nawi pula menyentuh mengenai sejarah Pas memerintah Kelantan bermula dari tahun 1990. Beliau membuat perbandingan dalam siri pilhan raya yang telah diadakan serta faktor-faktor kemenangan.

Kuliah ini dihadiri oleh semua ajk DPPKT serta ajk pemuda dun yang ada dalam kawasan Tumpat.


Monday, March 22, 2010

KULIAH HARAKI DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN TUMPAT

Alhamdulilahi robbil 'alamin wa'ala alihi wasohbihi ajma'in

Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat akan mengadakan Kuliah Harakinya yang pertama yang Insya Allah akan diadakan sebagaimana berikut :

Terikh : 23 Mac 2010 (Selasa Malam Rabu)
Masa : Bermula dengan Solat Maghrib Berjemaah
Tempat : Pejabat PAS Kawasan Tumpat Chabang 3 Berangan
Pengkuliah : Ustaz Fadli Shaari & YB Hj Che Lah ADUN Wakaf Bharu

Semua AJK Pemuda Kawasan & AJK Pemuda DUN diWAJIBkan hadir

Sunday, February 21, 2010

Seminar Kepimpinan Jentera Pilhan Raya


Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mengadakan satu Seminar Kepimpinan Jentera Pilihan Raya Pemuda Pas Negeri Kelantan pada 20/02/2010 bertempat di Akademi Kepimpinan Pemuda, Kok Lanas. Ajk Pemuda Kawasan serta dun diwajibkan untuk menghadiri seminar tersebut.

Seminar tersebut telah dirasikan oleh YB Haji Abdul Fatah Haron, Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan. Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan. Kertas kerja pertama: Garis Panduan Jentera Pilihan Raya Pemuda Pas telah dibentangkan oleh Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Pusat.

Kertas kerja kedua: Pelan Bertindak Kemenangan PRU Ke 13 Jabatan Pilihan Raya Pemuda Pas Kelantan telah dibentangkan oleh Saudara Mohd. Nuri Mat Yaacob, Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Kelantan dan kerta kerja ketiga: Kempen Jom Sertai Pas telah dibentangkan oleh Saudara Muhammad Hafiz Musa, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan.

Manakala majlis penutupnya dirasmikan oleh YB Ustaz Haji Abdul Latif Abdul Rahman, Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan. Dalam perasmian penutup itu juga, beliau telah melancarkan kempen Jom Katakan Tak Nak Kepada Arak, Pergaulan Bebas dan Zina.




Sunday, February 14, 2010

Kunjungan DPPKT Ke Dun Kelaboran


Pada 13/02/2010, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan kunjungan ke Dun Kelaboran untuk bertemu mata dengan ajk Pemuda Pas Dun Kelaboran.  Majlis tersebut telah diadakan di Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Kelaboran pada pukul 9.30 malam yang turut dihadiri oleh YB Mohd Zaki Hj Ibrahim, Adun Kelaboran.

Majlis dimulakan dengan ucapan saudara Mohd. Abd Rashid Yah selaku Ketua Pemuda Dun Kelaboran yang bertindak sebagai pengerusi majlis pada malam tersebut yang mengalu-alukan kedatangan rombongan DPPKT yang diketuai oleh Haji Rosli Abdullah selaku Ketua DPPKT sendiri.

Kemudian ajk Pemuda Dun Kelaboran diberikan taklimat mengenai program yang akan dilaksanakan oleh saudara Kamazelan Abu Talib selaku Setiausaha DPPKT. Beliau memberikan taklimat mengenai program-program yang anjuran DPPKT khususnya program Belia Cakno Masyarakat yang diwajibkan kepada setiap dun untuk dilaksanakan oleh Pemuda Dun.

Seterusnya majlis mendengar amanah yang disampaikan oleh Haji Rosli Abdullah selaku Ketua Pemuda Kawasan yang telah menyentuh mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh pemuda terutamanya untuk menarik sokongan golongan muda. Beliau mengingatkan bahawa pemuda perlu mempunyai inisiatif sendiri dalam menjalankan aktiviti berdasarkan keadaan setempat. Pemuda juga perlu menjalankan tugas amal maa’ruf dengan lebih serius lagi kerana gejala sosial yang semakin berleluasa sekarang ini.

Akhirnya majlis menjemput YB Mohd Zaki Hj Ibrahim untuk memberikan tausyiah kepada para pemuda. Beliau mengingatkan para pemuda untuk memainkan peranan yang lebih aktif untuk menarik golongan muda. Pemuda Dun juga perlu menambah keahlian dikalangan para pemuda yang mempunyai kepakaran tertentu bagi melicinkan lagi gerak kerja kepemudaan. Beliau juga mengharapkan tunjuk ajar DPPKT kepada Pemuda Dun Kelaboran kerana DPPKT mempunyai ajk yang berpengalaman dalam kepemudaan.

Ini adalah dun yang kedua dilawati secara rasmi selepas Dun Pengkalan Kubor baru-baru ini.  




Sunday, February 7, 2010

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009 Peringkat PAS Kawasan Tumpat



Pada 30/01/2010 Lajnah Penerangan Pas Kawasan Tumpat telah menganjurkan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009 yang diadakan bertempat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh, Tumpat.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato Ahmad Yaacob merangkap Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan. Manakala perasmian penutupnya disempurnakan oleh YB Dato Paduka Husam Musa, Exco Kanan Kerajaan Kelantan.

Pembentangan ucapan dasar pula dilakukan oleh YB Dato Kamarudin Jaafar, ajk Pas Pusat merangkap Ahli Parlimen Tumpat. Semua dewan-dewan dijemput hadir.

Setiap dewan diberikan peluang untuk membuat munaqasyah. Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengamanahkan kepada Saudara Mohd. Abd. Rashid Yah selaku Ketua Penerangan DPPKT untuk membentangkan kertas kerja munaqasyah di majlis tersebut


Mahabbah DPPKT ke Pengkalan Kubor





Pada 30/01/2010, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan program Lawatan Mahbbah bertempat di Pejabat Dun Pengkalan Kubor pukul 9.30 mlm. DPPKT diwakili oleh Ketua Pemuda, Naib dan Timbalan, S/U & Ketua Penerangan.

Tuan Haji Rosli Abdullah selaku Ketua DPPKT telah meberikan ucapan. Program ini diwujudkan adalah untuk merapatkan ukhwah antara pemuda kawasan dengan pemuda dun. Beliau juga turut memberikan taklimat mengenai Program Belia Cakno Masyarakat yang telah dirancangkan pada peringkat negeri.

Program Belia Cakno Masyarakat diadakan bertujuan bagi membentuk jati diri para belia untuk berdepan dengan pelbagai cabaran semasa. Ianya juga sebagai salah satu cara untuk menarik penyertaan orang muda dalam program pemuda. Pemuda juga mesti memastikan program yang dianjurkan itu memberi kesan.

Pentingnya program tarbiyah dan saranan kepada pemuda dun untuk menyertai kuliyah tafaquh fiddin anjuran DPPKT setiap hari Jumaat.

Ucapan terima kasih kpd pemuda yang berjaya menganjurkan program ini. Dipengerusikan oleh Ustaz Rostan selaku Ketua Pemuda Pas Dun Pengkalan Kubor.

Turut hadir Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim. Dalam ucapan beliau, beliau mengharapkan kerjasama daripada pemuda bagi menjayakan program parti. Beliau turut menyerankan supaya organisasi pemuda terus diperkasakan.

Pemuda Buat Laporan SPRM




KOTA BHARU, 7 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana didakwa bertindak di luar bidang kuasa berhubung wang ehsan negeri itu.

Laporan berkenaan dibuat anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri, Mohammad Abdul Rashid Yah yang juga seorang peguam.

Mustapa sebelum ini dilaporkan menyebut Perhubungan Umno Kelantan akan berjumpa dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan projek hasil wang ehsan.

Abdul Rashid berkata, tindakan Umno Kelantan itu bersalahan dengan bidang kuasa mereka yang tidak pernah diberi oleh kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan hasil berkaitan royalti petroleum.

Katanya, keghairahan pemimpin Umno terbabit dibimbangi boleh menyebabkan berlaku penyelewengan terhadap penyaluran wang tersebut.

“Oleh yang demikian saya memohon pihak SPRM mengadakan siasatan bagaimana yang diperuntuk di bawah Seksyen 29 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya kepada pemberita di pejabat SPRM di sini.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, laporan itu dibuat bertujuan membolehkan SPRM menyiasat memandangkan usaha tersebut dibimbangi berlakunya penyelewengan duit dari hasil royalti petroleum.

Menurutnya, pengendalikan wang royalti di bawah agensi yang dipertikaikan rakyat Kelantan seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dianggap satu cara yang tidak sah.

“Tindakan Ketua Umno Jeli itu di luar bidang kuasa Umno Kelantan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri yang dipilih rakyat,” katanya.

Hadir sama di pejabat SPRM, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hisyam Fauzi, bendahari, Wan Azimin Wan Adnan dan exco dewan berkenaan.


Dipetik dari Harakahdaily

Sunday, January 31, 2010

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden


Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh Ketua Penerangan, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) di majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden 2009 yang diadakan pada 30/01/2010 bertempat di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh, Tumpat.


Mukadimah

Dalam ucapan dasar YB Dato’ Seri Presiden dalam Muktamar Pas lalu yang bertajuk Islam Memimpin Perubahan mengandungi 15 sub topik yang agak padat untuk kita munaqasyah. Malah saya percaya sekiranya kita bahaskan secara detail dan terperinci ucapan dasar tersebut ianya boleh dimuatkan dalam sebuah buku yang amat berharga dari isi kandungannya buat para pejuang terutamanya untuk ahli Parti Islam Se- Malaysia (PAS).

Namun dikesempatan yang terbatas ini, saya yang telah diamanahkan untuk mewakili Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) cuba untuk membuat ulasan secara menyeluruh berkaitan kandungan ucapan dasar tersebut yang mana ianya mungkin in line dengan ulasan orang lain dan mungkin juga ianya berlawanan. Namun satu perkara yang perlu diingat, selagi mana ia tidak bercanggah dengan dasar perjuangan yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah maka kita perlu meraikannya dengan adabul ikhtilaf yang tinggi sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi di dalam bukunya Ummatuna bainal Qornain.


Perbahasan Pertama

Dalam mukadimah ucapan dasar tersebut, Dato’ Seri Presiden ada memetik ayat al-Quran surah al- Ankabut ayat 1-3:

1.  Alif laam miim[1144](2) Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (3) Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.


Imam Jalaluddin as-Suyuti telah menyebut dalam kitabnya Lubaabun nuqul fi asbabin nuzul riwayat Ibn Abi Hatim dari Qatadah bahawa sebab turun ayat ini berkaitan dengan peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. Penduduk Mekah telah menyusuri Rasulullah ke Madinah namun telah dihalang oleh orang Musyrikin lalu mereka dipaksa pulang kembali ke Mekah. Setelah itu sahabat dan kaum keluarga mereka telah menghantar surat berkaitan ayat tersebut lalu mereka meneruskan hijrah mereka sehinggalah ada yang syahid dipertengahan jalan.

Tidak dinamakan perjuangan jika tanpa ujian. Para pejuang yang berjaya mengharungi ujian merupakan pejuang yang sejati. Seumpama sebatang besi tidak akan menjadi sebilah keris yang ampuh dan cantik jika tidak dibakar dan ditempa beberapa kali terlebih dahulu. Namun perlu kita ingat bahawa ujian itu bukan hanya kesusahan, rintangan, tekanan ataupun kekalahan tetapi kemenangan, jawatan, kemewahan juga merupakan suatu ujian buat kita.

Berapa ramai para pejuang yang berjaya menghadapi ujian berupa kekalahan, kesusahan dan rintangan namun mereka gagal sewaktu menghadapi ujian atau cubaan yang berupa kemenangan, jawatan dan kemewahan. Di saat itu kita seolah-olah lupa akan prinsip musyawarah, amal jamaie, wehdatul fikr, wehdatul amal dan bermacam-macam lagi prinsip yang seharusnya wajib difahami dan diamalkan oleh kita yang mengaku sebagai pejuang parti membawa agenda Islam.

Maka tatkala itu, tiada bezanya antara kita dan orang lain atau parti lain khususnya UMNO kerana kita telah mengamalkan prinsip yang diamalkan oleh UMNO kedalam diri kita. Yang tinggal hanyalah sebuah dakwaan semata-mata kerana kita sebenarnya telah jauh dari prinsip amal jamaie. Itulah yang akan terjadi sekiranya kita mendahulukan kepentingan diri daripada kepentingan jemaah.

Perbahasan Kedua

Dalam imbasan setahun, Tuan Guru Dato Seri Presiden telah menyebut bahawa kerjasama erat dikalangan kita khususnya telah membuatkan kita berjaya menghadapi pelbagai ujian termasuklah beberapa siri pilihan raya kecil. Kerjasama tersebut telah menarik rakyat jelata untuk bersimpati dan memberikan sokongan kepada kita, hasilnya kita telah memenangi beberapa pilihan raya kecil.

Oleh yang demikian, janganlah sokongan rakyat kepada kita itu menjadi pudar dek kerana sikap kita sejak akhir-akhir ini yang bertelingkah sesama sendiri. Tiada lagi seiya sekata sehinggakan dalam satu isu timbul banyak pendapat serta pendirian yang berbeza-beza. Memang tidak salah untuk berbeza pendapat, namun pendapat yang diputuskan oleh pihak jemaah perlu diutamakan manakala pendapat peribadi tidak harus diperbincangkan bagi mengelak fitnah yang lebih besar kepada jemaah.

Perbahasan Ketiga

Sebagaimana tajuk ucapan dasar, Islam Memimpin Perubahan sudah tentulah perubahan yang kita maksudkan dan kehendaki ialah perubahan kearah kebaikan sepertimana yang telah digariskan Islam dan bukan sebaliknya. YB Tuan Guru Dato Seri Presiden telah menyebut beberapa contoh kegagalan-kegagalan UMNO disebalik slogan-slogan tertentu yang silih bertukar ganti dan terbarunya Satu Malaysia sedangkan prinsipnya terlalu kabur serta kelihatan bercanggah dengan prinsip Islam.

Maka contoh-contoh yang berada di hadapan mata kita ini janganlah diterapkan sebagai pegangan perjuangan kita. Kita sebagai pendokong perjuangan Islam perlu membuktikan dasar-dasar perjuangan kita ini dengan tingkah laku kita yang benar mencerminkan sebuah perjuangan yang benar dan bukan sekadar menjadi laungan atau kata-kata semasa ceramah semata-mata akhirnya menjadi sebuah retorik. Firman Allah s.w.t:

Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidaklah kamu berpikir? (al- Baqarah: 44)

Sekiranya kita mengatakan bahawa UMNO itu salah kerana dasar perjuangannya jauh dari prinsip Islam, maka kita perlu buktikan kepada masyarakat bahawa kita perjuangan kita adalah atas landasan kebenaran. Kita mengatakan bahawa UMNO menghadapi masalah dalaman yang teruk, namun tidak kurang juga dengan jemaah kita. Kalau UMNO berdepan denga krisis sesama mereka sendiri, masyarakat tidak begitu ambil hirau sangat sebab sudah begitunya UMNO. Tapi bila jemaah atau parti kita yang bertelagah sesama sendiri terutamanya dikalangan pimpinan, masyarakat akan memandang berat perkara tersebut kerana kita adalah jemaah atau parti Islam yang membawa slogan Islam.

Dimanakah prinsip ukhwah, taat, wala', yang kita pelajari dalam amal jamaie? Sudah lupakah kita rukun baiah yang digarapkan oleh Imam Hassan al-Banna? Dalam rukun faham sahaja terdapat 20 usul yang dihurai panjang mengenai fungsinya.

Cuba kita renung sejenak, bagaimana ukhwah sesama kita serta permuafakatan kita sebelum jemaah kita memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya. Jauh bezanya dengan keadaan sekarang yang kelihatannya racun-racun UMNO sudah mula meresap dan membarahi jiwa kita.

Dr, Ali Abdul Halim Mahmud menyebut dalam bukunya Syarah Usul ‘Isyriin bahawa salah satu punca perpecahan kaum Muslimin dan kemunduran tamadun mereka hari ini adalah berpunca dari umat Islam sendiri. Ini adalah kerana kelemahan mereka dalam berpegang dengan prinsip serta kewajipan agama. Jalan penyelesaiannya mudah iaitu kembali kepada manhaj Islam.

Rakyat mampu menilai perbezaan antara pemerintahan UMNO dan pemerintahan Pas bersama rakan Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang berjaya kita tawan. Mereka akan mudah menilai kerana mereka pernah berada di bawah pemerintahan UMNO. Kita perlu buktikan kepada rakyat dan UMNO bahawa Islam memang boleh memerintah serta mampu melakukan perubahan.  

Maka buktikanlah kepada rakyat dan masyarakat bahawa model pemerintahan dan pentadbiran yang dikemukakan Islam tetap relevan tanpa mengira tempat dan masa di setiap zaman.


Perbahasan Keempat

Dalam sub-topik Dalam Negara, Tuan Guru Dato Seri Presiden mengajak kita untuk merenung kembali sejarah dan matlamat penubuhan Parti Islam Se- Malaysia (PAS). Ini adalah kerana berdasarkan matlamat penubuhanlah kita akan dapat menjiwai erti sebenar jemaah yang kita dokong ini.

Sejarah mengajar manusia tentang tamadun serta pengajaran yang amat bernilai. Sesiapa yang buta sejarah maka dia sebenarnya tidak mengenali asal usulnya sendiri. Orang yang tidak mengenali asal usulnya sendiri tidak akan kemana-mana kerana dia sebenarnya telah tersesat dalam dirinya sendiri.

Setelah kita ketahui bahawa penubuhan Pas ini adalah untuk memperjuangkan Islam yang syumul maka kita wajib meneruskan kesinambungan tersebut tanpa terpesong dari arah sebenar dengan dugaan kepentingan diri dan peribadi kita.


Perbahasan Kelima

Tuan Guru Dato Seri Presiden menegaskan bahawa PAS berpendapat bahawa kepimpinan adalah merupakan satu amanah yang sangat besar, dan ianya wajib dipikul oleh orang yang bukan sahaja layak dan adil tetapi juga perlu dilihat bersih amal perbuatannya. Risiko mempunyai kepimpinan yang rosak akhlak dan mempunyai seribu satu macam bebanan fitnah adalah sangat tinggi, yang mana maruah negara adalah menjadi taruhannya.

Walaupun pernyataan tersebut ditujukan khas kepada UMNO, namun kita juga perlu meletakkannya ke dalam diri kita bagi menilai di tahap mana kita sebenar. Janganlah ada diantara kita orang-orang yang mengaku menjadi pejuang Islam namun akhlaknya tidak melambangkan perkara tersebut. Perebutan jawatan serta kuasa yang sebenarnya adalah amanah yang akan dipersoalkan nanti dijadikan seolah-olah harta ghanimah perang yang boleh dibahagikan sesuka hatinya. Sabda Rasulullah s.a.w:

Bahawa itu adalah suatu amanah dan ia pada hari kiamat akan menjadi kerugian dan penyesalan kecuali bagi orang yang mengambilnya dengan cara hak serta menunaikan kewajipan yang terpikul di atas bahunya.

Dalam menuju visi jemaah untuk melaksanakan pemerintahan model Islam, kita perlu memerlukan orang-orang yang benar pakar untuk melaksanakan perkara tersebut. Oleh yang demikian kita perlu menyediakan para tenaga pakar yang mencukupi dari pelbagai aspek, namun begitu aspek tarbiyah adalah perlu diutamakan.

Jika ahli-ahli kita menjalani proses tarbiyah secara berterusan dan dapat memahami serta dapat mengadaptasi dalam perjuangan ini, saya percaya kita akan mampu untuk menghadapi pelbagai cubaan dan dugaan yang merintangi laluan perjuangan kita.


Perbahasan Kelima

Ekonomi adalah antara faktor utama dalam pembangunan negara serta keharmonian masyarakat. Sekarang ini, Negara kita perlu ekonomi yang kukuh yang tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada negara lain. Kita perlu menjana ekonomi kita sendiri supaya kita boleh bergerak bebas dan tidak tertakluk kepada negara-negara kapitalis barat yang selalu menekan dan memeras negara yang tidak mempunyai ekonomi yang stabil terutamanya negara-negara Islam yang sedang membangun.

Dengan ekonomi Islam, kita akan dapat membina masyarakat yang lebih terjamin dari segi halal dan haramnya. Harta yang mereka perolehi bersih dari sumber-sumber yang haram kerana perkara tersebut merupakan asas dalam pembinaan masyarakat yang unggul.


Perbahasan Keenam

Pemerkasaan Organisasi jemaah kita amat perlu bagi menghadapi perjuangan yang masih jauh ini. Kita perlu berusaha untuk meraih sokongan dan peryertaan masyarakat ke dalam jemaah bagi mengemaskan lagi kekuatan kita. Kita perlu menggabungkan para ahli dari pelbagai latar belakang dan tidak hanya tertumpu kepada golongan professional semata-mata.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Tuan Guru Dato Seri Presiden bahawa Walaupun PAS sungguh terbuka untuk menerima idea-idea baru, semua yang menjadi ahli PAS ini perlulah ditarbiah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan oleh PAS, serta memahami budaya dan kaedah PAS. Institusi usrah dipelbagai peringkat pula perlulah diperkukuhkan, untuk melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dengan perjuangan Islam yang kita bawa ini.

Perkara ini perlu difahami dengan teliti oleh para ahli yang dengan jelasnya betapa penting proses tarbiyah dalam jemaah. Melalui proses tarbiyah inilah kita akan dapat menerapkan wehdatul fikr dan wehdatul amal dalam amal jamaie kita.

Perbahasan Ketujuh       

Mutaakhir ini Pas telah mula membuka ruang kepada masyarakat bukan Islam untuk mendekati dan memahami perjuangan Islam yang dibawa Pas. Penubuhan Kelab Penyokong Pas oleh masyarakat cina dan India telah memulakan lembaran baru kerjasama Pas dengan masyarakat yang berlainan aqidah. Ia juga menggambarkan bahawa Pas telah mendapat tempat di hati masyarakat bukan Islam. Malah Pas juga turut mengembangkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, dalam keghairahan kita untuk meraih sokongan masyarakat bukan Islam kepada Pas kita juga perlu beringat-ingat agar dasar perjuangan dan asas aqidah tidak tergadai.

 Perbahasan Kelapan

Pas adalah sebuah parti yang terdiri dari dewan- dewan yang saling bantu mambantu seperti tiang-tiang asas dalam membangunkan sebuah bangunan yang kukuh. Setiap dewan mempunyai peranannya yang tersendiri yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Peranan Dewan Ulama yang lebih tinggi berbanding dewan-dewan lain dalam membina generasi pejuang yang mampu menghadapi cabaran serta menentukan hala tuju jemaah.

Manakala Dewan Pemuda sebagai sayap kanan jemaah yang perlu diperkasakan kerana golongan inilah yang akan mewarisi kepimpinan jemaah pada masa akan datang. Jika sayap kanan ini tempang, maka masa depan jemaah akan menjadi kabur.

Pas tidak pernah menafikan peranan Muslimat dalam perjuangan. Malah tugas Dewan Muslimat amat unik yang tidak mampu dilaksanakan oleh dewan-dewan lain sama ada dewan ulama mahupun dewan pemuda. Kita perlu akui bahawa tangan yang menghayun buaian itu mampu untuk menggegarkan dunia.    

Walaupun begitu kesemua dewan-dewan ini perlu bersatu tenaga bekerjasama untuk memperjuangan agenda Islam yang didokong parti kita tanpa mendabik dada bahawa kejayaan yang telah dikecapi hasil usaha mereka sahaja. Kerana setiap dewan mempunyai tugas dan tanggungjawab masing-masing dan tersendiri sebagaimana yang telah ditetapkan oleh parti.

Perbahasan Kesembilan

Walaupun Pas adalah sebuah parti politik yang ditubuhkan di Malaysia, namun sikap mengambil berat mengena saudara sesama Islam di luar Negara tetap menjadi perhatian.

Pelbagai cara telah kita tunjukan sebagai tanda bantahan terhadap keganasan-keganasan yang dilakukan ke atas masyarakat Islam diluar sana serta tanda sokongan kita kepada jemaah-jemaah Islam yang memainkan peranan seperti kita di Malaysia.

Apalah sangat nilai pengorbanan kita jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan. Mereka bukan hanya sekadar berjuang dalam pilihan raya seperti kita bahkan mereka juga turut mengangkat senjata melawan kuffar yang menceroboh dan ingin merampas tanah air mereka. Kita turut menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan yang mereka pikul tersebut sebagai menunaikan tanggungjawab sesama Muslim.

KESIMPULAN

Saya berpendapat bahawa tiada kesimpulan yang lebih baik daripada kesimpulan yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Dato Seri Presden sendiri semasa memberikan ucapan dasar tersebut.

Sebagai intipati tindakan bagi para pendokong dan pimpinan PAS, maka izinkan untuk saya simpulkannya dan membuat seruan seperti berikut:

i) Saya menyeru kepada semua peringkat ahli parti untuk memperkukuhkan ukhuwwah, mahabbah dan persaudaraan dalam saf jamaah khususnya di peringkat kepimpinan serta aktivis parti sehingga ke seluruh akar-umbi supaya benar-benar menjadi seperti yang dituntut Allah SWT dalam Surah As-Sofff ayat 4, terutamanya Majlis Syura Ulama, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan-dewan, Badan Perhubungan PAS Negeri-negeri, Kawasan-kawasan dan Cawangan-cawangan. Arahan ini juga termasuk memperkukuhkan Kelab Penyokong PAS sehingga kebersamaan mereka dalam perjuangan PAS dapat terus diperkasakan.

ii) Marilah kita mengurus kemenangan dan kelemahan kita dengan Islam, supaya Islam yang kita perjuangkan itu mampu dilihat sebagai pemandu dalam segala bentuk amalan kita. Kita ingin memimpin perubahan dalam negara kita dengan Islam. Semua petugas parti perlulah mencari formula dan ruang yang ada untuk menonjolkan kepimpinan Islam dalam segenap segi kehidupan dengan cara yang penuh hikmah dalam menangani harapan rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya serta terus kekal dengan iltizam disiplin yang tinggi supaya tidak goyah oleh perancangan jahat musuh.
iii) Marilah kita melaksanakan mesej dakwah secara muwajahah silmiyyah, dengan kita sedia berdialog, bermuzakarah dan berdebat dengan sesiapa sahaja demi merealisasikan tema Islam Memimpin Perubahan.

iv) Marilah kita terus menerus memperkasakan parti dan mempersiapkan kepimpinan PAS, bagi menangani cabaran persaingan yang semakin sengit dari segi tuntutan intelektual dan mendepani permasalahan negara dalam konteks global. Para pimpinan ulama PAS juga perlu berani berijtihad bagi menangani polemik-polemik baru dalam urusan perundangan dan kancah politik yang serba mencabar ini.

v) Marilah kita menampilkan satu imej dan citra PAS sebagai parti Islam yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan apa jua cabaran semasa dan mendatang dengan menampilkan satu pendekatan imej yang bersifat ‘Usuliy’ dari segi prinsip-prinsip perjuangan, ‘Mu’asirah’ dari segi kepimpinan dan organisasi-jentera, ‘Istiqbaliy’ dari segi persiapan dan kesediaan untuk menggempur senario perjuangan masa depan.

vi) Marilah kita mengeratkan persefahaman dan keserasian setiakawan dan kelancaran bekerja di semua peringkat dalam Pakatan Rakyat, sehingga benar-benar dapat menyerlahkan kredibiliti dan perpaduan Pakatan Rakyat khususnya di semua negeri-negeri yang kita tadbir bagi bersiap sedia untuk menempah kejayaan yang lebih besar dalam PRU ke-13.

PENUTUP

Akhirnya, dikesempatan ini bagi pihak Muktamar, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Selangor, Panitia Induk Muktamar, Badan Perhubungan PAS Selangor dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar ke-55 ini.

Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Marilah kita menghayati akan firman Allah SWT

Dan Allah Telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana dia Telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang Telah diridhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentausa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang fasik. (an-Nur: 55)