Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Sunday, August 15, 2010

Pelancaran Kelas Tafaqquh Fiddin


Pada 13/08/2010 (Jumaat), Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan pelancaran Kelas Tafaqquh Fiddin yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Ustaz Hj Ahmad Bin Yakob, Timbalan  Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Kelantan merangkap Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan. Turut hadir sama ke majlis tersebut ialah YB Dato’ Haji Kamarudin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat dan En. Mohd Nawawi Hj Adam, Ketua Penerangan Pas Kawasan Tumpat.

Kelas tafaqquh fiddin anjuran DPPKT itu sebenarnya telah lama berjalan yang dikendalikan oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Amran selaku pengkuliyah tetap. Kuliyah yang diadakan setiap pagi Jumaat bermula pukul 7:30 pagi itu terbuka untuk semua dan tidak hanya terhad kepada pemuda sahaja.

Kelas ini diadakan adalah sebagai salah satu usaha DPPKT untuk memberikan ruang kepada masyarakat menambah ilmu apatah lagi seruan kerajaan pimpinan Tok Guru telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari menuntut ilmu. Diharapkan dengan pelancaran yang telah dibuat ini, masyarakat akan merebut peluang yang diberikan bagi berlumba-lumba untuk menuntut ilmu.   

Monday, June 22, 2009

TIADA LAGI KERAJAAN PERPADUAN:-MAJLIS PRESIDEN PR

KUALA LUMPUR, 22 Jun : - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, Pakatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.
"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.Majlis pimpinan


Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.

Saturday, May 23, 2009

ADUN MANEK URAI (POKSU WEIL) MENINGGAL DUNIA


TG NIK Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat jenazah Allahyarham Ismail Yaacob (gambar kecil) di Kuala Krai, Kelantan, semalam.

KUALA KRAI 22 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Ismail Yaacob, 60, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini pagi ini selepas dirawat di hospital berkenaan sejak hujung bulan lepas.


Ismail yang lebih dikenali sebagai 'Pak Su We'a' di kalangan penduduk kawasan berkenaan menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan dua orang anaknya kira-kira pukul 5.55 pagi selepas menderita sakit jantung dan kencing manis dan darah tinggi.


Isteri Allahyarham, Siti Zaharah Ibrahim, 58, berkata, sejak empat tahun lalu, suaminya sering berulang-alik ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.


Kata beliau, suaminya dirawat di wad hospital itu kira-kira sebulan lalu apabila penyakit yang dihidapinya semakin teruk sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong pada minggu lepas.


"Sebelum ini, arwah pernah berkata kepada saya bahawa beliau amat berharap untuk menjalankan tugasnya sebagai ADUN sehingga habis penggal ini, tetapi hasratnya tidak kesampaian.


"Saya bersedia dan reda menerima kenyataan ini kerana allahyarham telah menderita sakit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan 11 orang anak, lima perempuan serta enam lelaki berusia antara 17 sehingga 35 tahun.


Jenazah allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Manek Urai Lama di sini hari ini.


Turut hadir Menteri Besar, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengimamkan solat jenazah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Nassaruddin Daud; Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.


Ismail yang mewakili Pas memenangi kerusi DUN Manek Urai sejak pilihan raya umum pada tahun 1986.


Beliau merupakan ADUN yang paling lama berkhidmat di negeri ini selepas Nik Abdul Aziz.


Bagaimanapun, pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak dicalonkan untuk kerusi tersebut, sebaliknya diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim yang tewas kepada wakil BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 53 undi.


Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai telah dipilih semula untuk mewakili Pas di kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-12.


Allahyarham yang memperoleh 5,746 undi menewaskan Mohamed Zulkifli yang memperoleh 4,394 undi.


Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut mempunyai DUN Dabong, Guchil dan Mengkembang.