|        Semakin melalut nampaknya Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim   Ali (dalam bahasa Kelantan, ia disebut 'borak' dengan sabdu pada   'b'). Sikap sebenar beliau terhadap PAS, parti yang memberi   laluan selesa kepadanya memenangi kerusi berkenaan dalam pilihan   raya lalu, semakin dizahirkannya.
  
 
  Kalau sebelum ini segala luahannya diterima sekadar teguran dan   kritikan ikhlas terhadap kepimpinan parti dan kerajaan negeri   Kelantan, kini nadanya sudah berubah menjadi kutukan dan   penghinaan.
  
 
  Beliau memang terkenal seorang pemimpin yang lantang menyuarakan   sikap dan pendapatnya. Kelantangannya mutakhir ini bagaimana pun   sudah terbabas jauh melangkaui batasan toleransi, terutama oleh   para penyokong PAS. Butir cakapnya kini malah lebih layak disebut   keceluparan.
  
 
  Kritikan yang lebih berupa kutukan terhadap PAS, terutamanya   kepimpinan kerajaan Kelantan sudah di luar kewajaran sebagai   seorang yang mahu membina parti dan kerajaan. Beliau malah lebih   sesuai dilabelkan sebagai alat propaganda dan senjata Barisan   Nasional (BN).
  
 
  Apa lagi yang belum dibuatnya bagi membuktikan sikapnya yang   sangat bertentangan dengan PAS? Di dalam persidangan Parlimen,   beliau bukan sekadar memilih untuk bertegang leher dengan wakil   PAS, malah mengeluarkan kata-kata kesat dan nista terhadap   mereka.
  
 
  Di dalam banyak kenyataannya sebelum ini pun, Ibrahim sudah   acapkali melabelkan PAS dan Pakatan Rakyat dengan berbagai nama.   Terbaru ialah label hipokrit yang diucapkannya terhadap   parti-parti yang membantunya sebelum ini dalam kes pergolakan   politik di Perak.
  
 
  Kenyataannya penuh sinis memperlekeh kepimpinan PAS di Kelantan   sudah semakin lumrah. Sudah banyak pihak yang hangat hati   terhadap perbuatannya. PAS Kelantan, khususnya di kawasan Pasir   Mas, memberikan reaksi munasabah menuntut Ibrahim lebih rasional   dalam ucapan dan tindakannya.
  
 
  Malah ada pihak yang mendesak beliau mengundurkan diri dan   memulangkan hak menentukan nasib politiknya kepada rakyat. Dalam   erti kata lain, Ibrahim secara bermaruah dituntut melepaskan   jawatan Ahli Parlimen Pasir Mas dan dicabar bertanding atas tiket   Bebas atau parti lain bagi membuktikan pengaruhnya benar-benar   kuat di kawasan berkenaan.
  
 
  Namum, bagai diduga setiap pihak yang mengenali beliau, segala   teguran, kritikan dan desakan itu tidak pernah dihiraukannya.   Ibrahim ibarat seorang pekak dan tuli yang tidak langsung   mendengar bantahan dan kemarahan rakyat yang mengundinya dalam   pilihan raya lalu.
  
 
  Beliau terus mengutuk PAS dan memperlekeh kerajaan Kelantan.   Skrip sama diulang suara Isnin (1 Jun). Kerajaan Kelantan   didakwanya gagal menyediakan pelan tindakan bagi membangunkan   segala sumber semula jadi di negeri itu secara terancang, meski   pun telah memerintah hampir 20 tahun.
  
 
  Katanya, dalam tempoh itu, kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik   Abdul Aziz Nik Mat hanya mampu menjana pendapatan RM300 juta   setahun sedangan kekayaan alam semula jadi boleh dieksploitasi   bagi menjana pendapatan lebih besar.
  
 
  "Ia bukan satu pencapaian sebaliknya satu kegagalan...   seolah-olah ada satu sikap eskapisme dengan sepanjang masa   berpolitik, berceramah siang dan malam dengan selalu menyalahkan   Kerajaan Pusat bagi menutup apa yang tidak upaya dilakukan,"   katanya.
  
 
  Ibrahim menyenaraikan beberapa pemerhatiannya mengenai kegagalan   itu. Antaranya disebutkan kerajaan Kelantan jarang mengadakan   seminar mengenai peluang-peluang pelaburan di negeri itu.   Dikatakan juga, kerajaan negeri tidak ada inisiatif menarik   pelaburan dari luar negara.
  
 
  Kerajaan Kelantan turut didakwa gagal mengeksploitasi sepenuhnya   kepelbagaian bentuk muka bumi negeri sebagai destinasi   pelancongan.
  
 
  Beliau turut membayangkan seolah-olah kepimpinan ulama (Tok Guru   sebagai Menteri Besar) terhad kepada soal keagamaan sahaja   menyebabkan kehidupan rakyat semakin melarat tanpa kemajuan.
  
 
  Katanya lagi, tidak ada peluang pekerjaan di Kelantan selain   berkhidmat dengan sektor awam semata-mata. Hal itu menyebabkan   sebanyak 60,000 penduduk negeri itu terpaksa berhijrah mencari   pekerjaan.
  
 
  "Ini teguran, kita bukan bercakap buta tuli dan tanpa akal,"   simpul Ibrahim.
  
 
  Meneliti hujah dan fakta diberikan Ibrahim itu, sukar dinafikan   bahawa itulah juga hujah dan fakta yang sering termuat dalam   propaganda BN memburukkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS.
  
 
  Kelantan sudah sekian lama diratib sebagai sinonim dengan   kemunduran, kelembapan ekonomi, ketiada peluang pekerjaan,   penghijrahan penduduknya, kegagalan itu dan ini.
  
 
  Namun, di sebalik segala serangan dan usaha pemburukan itu,   masyarakat umum dapat melihat kemakmuran negeri, kemajuan   ekonomi, pembangunan pesat di sana-sini, berserta keselesaan   rakyatnya meneruskan penghidupan.
  
 
  Dalam hal ini, penulis teringat ucapan sangat bernas oleh   Almarhum Ustaz Bunyamin Yaacob. Tidak syak lagi bekas Ahli   Parlimen Bachok dan Pegawai Penerangan PAS Kelantan itu adalah   pemidato dan pengulas politik yang sangat pintar dalam hujahnya.   Pemergiannya sukar digalang ganti dalam kelasnya yang tersendiri.
  
 
  Almarhum Ustaz Bunyamin dalam penghujahannya mematahkan serangan   dan kutukan BN terhadap kerajaan Kelantan sering mengajak hadirin   melihat dan menilai sendiri sejauh manakah kebenaran hujah dan   fakta dikemukakan BN itu.
  
 
  Setelah disyarahnya dengan panjang lebar dan disenaraikannya satu   persatu kepalsuan hujah musuh itu, Almarhum akan menyimpulkan,   "sekiranya masih ada orang yang kata Kelantan tidak membangun,   tidak maju, orang Kelantan sesak (miskin), hidup susah,orang itu   sama ada buta (tak dapat melihat) atau tuli (tidak dapat   mendengar kebaikan dan kemajuan di bawah kerajaan PAS)".
  
 
  Kini, antara orang yang giat mengulangi hujah dan fakta basi   dilaungkan BN sejak hampir dua dekad lalu itu ialah Ibrahim Ali.   Apakah beliau juga termasuk dalam kategori manusia 'buta' dan   'tuli' sebagaimana disebutkan Almarhum Ustaz Bunyamin itu? - 
 
 sumber : harakahdaily 
 
  |