Sunday, August 15, 2010

Pelancaran Kelas Tafaqquh Fiddin


Pada 13/08/2010 (Jumaat), Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DPPKT) telah mengadakan pelancaran Kelas Tafaqquh Fiddin yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Ustaz Hj Ahmad Bin Yakob, Timbalan  Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Kelantan merangkap Timbalan Menteri Besar Negeri Kelantan. Turut hadir sama ke majlis tersebut ialah YB Dato’ Haji Kamarudin Jaafar, Ahli Parlimen Tumpat dan En. Mohd Nawawi Hj Adam, Ketua Penerangan Pas Kawasan Tumpat.

Kelas tafaqquh fiddin anjuran DPPKT itu sebenarnya telah lama berjalan yang dikendalikan oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fuad Amran selaku pengkuliyah tetap. Kuliyah yang diadakan setiap pagi Jumaat bermula pukul 7:30 pagi itu terbuka untuk semua dan tidak hanya terhad kepada pemuda sahaja.

Kelas ini diadakan adalah sebagai salah satu usaha DPPKT untuk memberikan ruang kepada masyarakat menambah ilmu apatah lagi seruan kerajaan pimpinan Tok Guru telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai hari menuntut ilmu. Diharapkan dengan pelancaran yang telah dibuat ini, masyarakat akan merebut peluang yang diberikan bagi berlumba-lumba untuk menuntut ilmu.   

Saturday, August 14, 2010

Singgah Berbuka Di Dun Wakaf Bharu


Hari ini 14/08/2010, Dewan Pemuda Pas Kawasan Tumpat (DDPKT) dengan kerjasama Jawatankuasa Pemuda Pas Wakaf Bharu dan YB Haji Che Abdullah Mat Nawi selaku wakil rakyat Dun Wakaf Bharu telah mengadakan program amal yang dinamakan sebagai Singgah Berbuka bertempat di Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bharu.  

Program dimulakan dengan kunjungan ke 20 buah rumah orang miskin yang terpilih bagi menyampaikan sedikit sumbangan barangan keperluan dapur serta zakat.

Program ini merupakan program tradisi DPPKT yang diadakan pada setiap kali menjelmanya bulan Ramadhan. Kebanyakan mereka yang terpilih untuk menerima bantuan tersebut terdiri daripada orang miskin, ibu tunggal dan orang sakit yang memang memerlukan bantuan.

Dengan kehadiran YB Haji Che Abdullah Mat Nawi itu sendiri, sekurang-kurangnya bantuan yang diperlukan dalam kadar segera dapat diberikan perhatian.

Terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk penghulu Kampung Chenderong Batu, Wakaf Bahru.